Monday, March 19, 2012

MAJLIS ANUGERAH PERKHIDMATAN CEMERLANG KEMAS PERAK DAN PELANCARAN 5s

Oleh        : Mohd Syafiq Bin Hj Mohd Azahar
Gambar  : Bulkep



Seri Iskandar – Seramai 62 orang penerima anugerah perkhidmatan cemerlang telah diraikan dalam satu Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Jabatan KEMAS Perak 2011 bertempat di Dewan Iltizam, Institut Latihan KEMAS Seri Iskandar.
Majlis tersebut juga telah diserikan dengan kehadiran Ketua Pengarah KEMAS Malaysia, Y.Bhg. Dato’ Abdul Puhat Bin Mat Nayan bersama dif-dif jemputan kehormat yang lain untuk meraikan para penerima anugerah dan hadirin yang hadir pada majlis yang gilang gemilang tersebut.
Dalam majlis yang sama juga Y.bhg. Dato Ketua Pengarah KEMAS Malaysia juga bersukacita untuk merasmikan pelancaran 5s peringkat KEMAS Negeri Perak. Dengan penganugerahan perkhidmatan cemerlang kepada kakitangan jabatan KEMAS Perak diharapkan setiap kakitangan yang bertugas dapat mempamerkan semangat kerja yang tinggi dan berkualiti dalam setiap tugasan yang dilakukan disamping mewujudkan persekitaran yang selesa dengan perlaksanaan program 5s di setiap premis-premis jabatan di peringkat negeri, daerah mahupun parlimen.




Antara pengisian  yang berlansung pada majlis tersebut adalah persembahan koir daripada pemaju masyarakat daerah kinta yang diketuai saudari cik Nurul Huda Ahmad Nator dan juga persembahan tayangan video program gotong royong 5s peringkat jabatan KEMAS negeri perak.

MAJLIS PERASMIAN PUSAT KEGIATAN MASYARAKAT KEMAS GOPENG SEMPENA HARI KEPUTERAAN D.Y.M.M PADUKA SERI SULTAN PERAK DARUL RIDZUAN YANG Ke- 83

Oleh       : Mohd Syafiq Bin Hj Mohd Azahar
Gambar : Bulkep






Gopeng : Julung-julung kalinya Jabatan KEMAS Negeri Perak telah mencipta sejarahnya yang tersendiri apabila salah sebuah bangunan Pusat Kegiatan Masyarakat telah dirasmikan oleh D.Y.M.M Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan sempena Hari Keputeraan baginda yang ke -83.

Majlis yang bersejarah itu telah diserikan dengan keberangkatan tiba Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Azlan Muhibbudin Shah Ibni Almarhum Sultan Yussuf Izzudin Shah Ghafarullahu-Lah dan juga Duli Yang Amat Mulia Raja Dihilir Perak Darul Ridzuan, Raja Jaafar Bin Raja Muda Musa mencemar duli merasmikan bangunan Pusat Kegiatan Masyarakat Gopeng  serta kehadiran para jemputan dif-dif kehormat yang lain.          

“ KEMAS telah banyak berjasa kepada negara ini ketika negara baru mencapai kemerdekaan dimana kadar peratus buta huruf dikalangan masyarakat luar bandar amat tinggi. KEMAS telah memperkenalkan program pendidikan kelas dewasa diserata tanah air untuk membantu golongan ini bebas dari gejala buta huruf dan mempunyai ilmu pengetahuan dalam masyarakat ” titah baginda dalam ucapan perasmian Pusat Kegiatan Masyarakat KEMAS Gopeng tersebut.

Baginda juga bertitah Pusat Kegiatan Masyarakat KEMAS Gopeng hendaklah dipastikan menjadi salah satu pusat yang dapat memenuhi harapan dan menjadi jambatan hubung antara warga masyarakat dengan kerajaan serta memenuhi tujuan penubuhannya dengan memberi manfaat kepada mereka.

Pada Majlis Perasmian tersebut Baginda juga berkenan melawat gerai-gerai pameran dan melihat produk-produk keluaran pengusaha-pengusaha bantuan ekonomi kampung KEMAS dan menyaksikan persembahan pementasan fesyen dari pelajar Institut Latihan Kemas Seri Iskandar, kanak-kanak tabika TLDM Lumut dan Kombo Dewan Bandaraya Ipoh.